Saturday, 13 August 2011

Ramadhan, Bekalan Taqwa Yang Menghidup, Membangkit dan Menyedarkan Kita








Ramadhan adalah universiti tarbiyah yang luarbiasa. Pelbagai ganjaran berganda dihidangkan 
buat kita semua. Dalam kesibukan kita mengutip pahala yang melimpah ruah pada setiap 
amal ibadah yang kita laksanakan, di dalamnya sarat dengan muatan tarbiah ruhiyah,
 membangkitkan kembali jiwa yang penuh sesak dengan rawasib-rawasib (karat) dosa sejak 
pasca Ramadhan tahun yang lalu. Saat kita  berada  dipertengahan Ramadhan, perlulah kita 
menilai prestasi kita dalam menjalankan modul-modul tarbiyah yang tersusun indah di bulan 
luarbiasa ini. Apakah jiwa kita telah ditarbiyah agar saat graduasi kelak, kita  akan beroleh
 keputusan yang cemerlang, lulus sebagai mukmin muttaqin, yang bertaqwa.
 Nilai taqwa itulah yang kita harap dapat kita raih.

Graduasi Taqwa
Ya, graduan generasi bertaqwa. Formula pembinaannya telah dicatat di dalam Al-Quran. 
Justeru, sepanjang Ramadhan ini, Al Quran sewajarnya bukan sekadar dibaca untuk
 meraih pahala berganda, khususnya buat para pemuda, tetapi ditadabur untuk menggapai
 formula membina pemuda pemudi yang bertaqwa. Ramadhan tidak akan ada maknanya
 kita sambut saban tahun tanpa kita mencapai martabat generasi bertaqwa. Buat para 
pemuda pemudi Islam, marilah kita mengambil kesempatan semaksima mungkin mengikuti
 modul latihan realiti pembinaan generasi bertaqwa. Dalam madrasah  rabbaniyah ini, kita
 sangat memerlukan pelajaran-pelajaran yang terdapat di dalamnya, khususnya buat para
 pemuda pemudi umat yang menginginkan kebangkitan Islam bersinar kembali. Ramadhan
 adalah bulan daurah Al-Quran. Al-Quranul-Karim dalam pandangannya yang menyeluruh 
kepada alam semesta ini, manusia dan kehidupan ini, telah menerangkan kepada kita satu 
manhaj yang amali dalam mempersiapkan manusia di segi roh, pembentukan keimanannya
 dan pentarbiyahan  kejiwaannya yang akhirnya melahirkan generasi bertaqwa.
Firman Allah dalam Surah Al-Anfal:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya 
Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan 
yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan
 (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”
 (Al-Anfal:29)

Firman Allah dalam Surah Al-Hadid:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah 
beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu 
dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu 
berjalan dengannya serta diampunkan dosa kamu dan ingatlah Allah amat 
Pengampun lagi amat Pengasihani.” (Al-Hadid: 28)

Dan firman Allah dalam surah At-Talaq:
“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan 
meninggalkan segala larangan) nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar 
(dari perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari jalan yang 
tidak disangkakannya.” (At-Talaq :2-3)
Renungi dan perhatikanlah dalam keseluruhan rangkaian ayat-ayat tadi, apakah yang kita 
dapati?
Taqwa dan Kekuatan
Kita mendapati bahawa ketakwaan kepada Allah Azzawajala adalah merupakan asas 
gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian 
serta sumbangan (pengorbanan).
Dalam pada itu juga dengan ketakwaan kepada Allah SWT sahajalah yang membolehkan 
seseorang mukmin membezakan antara yang “putih” dengan yang “hitam”, iaitu membezakan 
antara yang hak dengan yang batil.
Begitulah dengan ketakwaan kepada-Nya, Allah menjadikan bagi mereka yang bertakwa 
satu nur (cahaya). Lantaran dengan cahaya tersebut mereka berjalan di kalangan manusia
lalu manusia seluruhnya berpandukan dengan nur hidayah (yang mereka bawa) dan 
bersinarkan dengan nur tersebut.
Dengan ketakwaan kepada-Nya, mereka (yang bertakwa) mendapat jalan keluar 
(daripada kesusahan) kepada jalan yang penuh dengan keamanan. Sekalipun mereka di 
ketika  itu  berhadapan dengan maut serta berhadapan dengan seksaan-seksaan. 
Sayyid Qutb dalam  mentafsirkan firman Allah (Surah Al-Anfal:29) menyatakan:
“Inilah dia bekalan iaitu bekalan persediaan dan kelengkapan di perjalanan. Bekalan 
ketakwaan  yang menghidup, membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan 
di dalamnya setinggi-tinggi  kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati. Menyediakan
 baginya sinar cahaya petunjuk yang menyingkap segala rintangan ujian di liku-liku 
perjalanan yang sejauh mata memandang.  Cahaya petunjuk ini merupakan cahaya 
yang tidak dikelami dengan sebarang syubhat (kesamaran) serta mendindingi pemikiran
 yang sempurna dan benar. Kemudiannya, ia adalah merupakan bekalan keampunan 
dan memaafkan sebarang kesalahan, bekalan kedamaian yang mencurahkan  ketenangan 
dan kegembiraan, bekalan cita-cita serta impian untuk memenuhi dan mencapai kurniaan
Allah yang maha besar di ketika hari yang tiada di sana sebarang bekalan di ketika hari 
yang mana keseluruhan amalan adalah sia-sia, tidak mempunyai sebarang nilaian. 
Kesemuanya ini adalah merupakan kenyataan: Bahawa hanya ketakwaan kepada Allah
sahajalah yang benar wujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara
yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan 
di perjalanan. Begitu juga dengan hakikat-hakikat  kepercayaan (akidah) ini tidak akan 
dirasai, difahami dan diketahui melainkan kepada mereka yang melaksanakan secara
 amali.”

Taqwa Generasi Terdahulu
Lantaran itu, buat perhatian pemuda pemudi Islam, sedarilah bahawa betapa pentingnya 
ketakwaan,  maka apakah kita tidak serius melalui madrasah Ramadhan buat sekian 
kalinya ini. Bagi generasi Al-Quran yang telah dibina oleh Rasulullah SAW mereka 
sentiasa menantikan kembalinya Ramadhan bagi memperbaharui jiwa dan 
memperkasakan iman mereka, lantas mereka graduan buat sekian kalinya sebagai 
generasi bertaqwa, kemudian mereka bersikap dan  berprestasi luarbiasa sehingga 
memungkinkan dunia jahiliah tunduk kepada kebenaran Al-Quran dan Islam yang 
dibawa. Penjelasan Allah SWT terhadap kemuncak puasa di sepanjang Ramadhan 
amat jelas. 
Firman Allah SWT:
Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa 
sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga
 kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. (QS Al-Baqarah:183)

Ternyata Al-Quran begitu mengambil berat tentang fadilat (kelebihan) ketakwaan, 
bahkan dalam pada itu ia menyeru manusia kepada ketakwaan dan menempatkan 
serta memberikan keistimewaan kepadanya. Sebilangan besar dari ayat-ayatnya yang
 jelas sehinggalah para pembacanya, hampir-hampir tidak tertinggal satupun muka surat
ayat-ayat suci Al -Quran ataupun sebahagiannya melainkan mereka akan mendapati kalimah
 “attaqwa” di sana sini yang dinyatakan oleh yang Maha Pengingat dan Maha Bijaksana.
Para sahabat dan salafus salih begitu mengambil berat tentang ketakwaan di mana mereka 
memastikan, bermujahadah untuk mencapainya dan sering bertanya mengenainya. 
Umar bin Al-Khattab pernah bertanyakan Ubai bin Kaab tentang takwa. Ubai bertanya: 
“Pernahkah engkau berjalan di jalan yang berduri? Umar menjawab, “Bahkan!” 
Ubai bertanya: “Apa yang engkau lakukan apabila berjalan di jalan tersebut? 
Jawab Umar: “Aku berhati-hati dan berusaha (melepasi nya).” 
Lalu Ubai berkata: “Maka yang demikian itulah ketakwaan”.
Berasaskan kepada pengertian ketakwaan seperti yang dinyatakan oleh Ubai bin Kaab 
dalam jawapannya terhadap soalan yang dikemukakan oleh Umar al faruq, 
Sayyid Qutb Rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya, “Fi Zilalil Quran”:
“Yang demikian itulah ketakwaan, kehalusan rasa dalam tindakan, keheningan pada perasaan, 
ketakutan yang berterusan, kesentiasaan di dalam kewaspadaan dan pemeliharaan (diri) dan
 ranjau-ranjau di jalan. Jalan kehidupan. Jalan yang sentiasa dirintangi oleh ranjau-ranjau 
keinginan hawa nafsu, ranjau-ranjau kehalobaan, kebanggaan serta yang menakutkan dan 
menggetarkan hati, ranjau-ranjau tipuan pengharapan bagi mereka yang tidak mempunyai 
pengharapan. Tiupan ketakutan dari mereka yang tidak memberikan kemanfaatan serta 
kemudaratan dan puluhan macam ranjau-ranjau yang lain.

Luarbiasa Taqwa
Cukuplah “takwa” dengan segala kelebihan dan keberkesanannya. Sesungguhnya ia 
merupakan pemancar kelebihan (fadilah) kepada masyarakat seluruhnya. Satu-satunya 
jalan untuk mengawal kerosakan, kejahatan dan dosa. Bahkan ia merupakan rukun yang
paling asasi dalam pembentukan sesebuah keperibadian di segi kejiwaan dan akhlaknya.
Itulah hakikat ketakwaan yang kesannya begitu terasa dalam pentarbiyahan sesebuah 
peribadi dan pembentukan sesebuah jamaah. Wahai generasi kemudian, bersungguhlah 
di sepanjang 30 hari menuntut di Universiti Ramadhan.  Raihlah pahala tanpa batas dan 
keampunan dari Allah SWT serta pembebasan dari api neraka. Suburkan ketaqwaan 
dalam diri agar menjadi tunjang kekuatan untuk memperjuangkan Deen Allah SWT  
terus terangkat dan berada di puncak. Lantas dengan nilai taqwa inilah kita thabat di jalan
dakwah dan tarbiah yang perjalanannya masih panjang.

p/s: sumber dr © Langitilahi.com

No comments:

Post a Comment